Tuesday, January 11, 2011

::HaK & TanGGungJaWaB iSTeRi::


TAAT
Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.
Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:
Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.
(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

MELAYAN SUAMI
Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan bahawa ia melayan kehendak suaminya.

Sabda Rasulullah SAW:

Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.
(Riwayat sebahagian Ahli Sunnah)
Untuk mengelakkan daripada digolongkan dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.

MENGURUS RUMAHTANGGA
Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.
Apabila si suami memberi wang perbelanjaan kepada si isteri, maka si isteri mestilah berbelanja dengan bijak serta tidak membazir-bazirkan wang pemberian suaminya. Si isteri hendaklah berbelanja mengikut keperluan dan bukannya hawa nafsu. Si isteri mestilah memahami keadaan ekonomi suami yang sibuk mencari nafkah yang mencukupi untuk keluarganya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah membuat perbelanjaan keluarganya dengan bijak supaya tidak ada perbelanjaan melebihi pendapatan. Maka, si isteri hendaklah berjimat- cermat dalam membuat pembelian supaya suami isteri itu hidup dalam serba kesederhanaan sahaja. Tanggungjawab Bersama.
Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

MENJAGA MARUAH DIRI, SUAMI DAN KELUARGA
Sebagai seorang isteri, isteri hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.

PENDORONG DAN MEMBERI MOTIVASI
Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabt dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi "teman hidup". Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.
Dalam sesebuah institusi keluarga, ahli-ahlinya perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang sedemikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami ilmu fardu ain. Ini adalah perlu kerana ilmu ini merupakan panduan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga wajib menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Dengan mempelajari lebih banyak ilmu fardu ain, suami isteri dapat menghayati kehidupan Islam lebih bermakna lagi.
Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Suami isteri perlulah saling memaafkan dan menasihati kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ini adalah penting kerana tanpa sikap pemaaf dan saling tegur menegur ini, maka suami isteri itu akan hidup dalam kekacauan kerana sering melakukan kesilapan tanpa ada orang yang ingin menegurnya ataupun sering berbalah kerana tidak ada sikap pemaaf itu.
Salah satu hikmah berkahwin ini ialah suami isteri dapat melakukan solat berjemaah. Seperti yang diketahui, jika kita solat berjemaah, maka pahala yang diperolehi adalah berganda-ganda daripada solat secara sendiri. Dengan melakukan solat berjemaah ini maka perhubungan ukhwah antara suami isteri dapat dipereratkan. Yang paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri ini ialah bertawakal kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berumahtangga.



No comments:

Post a Comment